Saya pernah dinasihati agar mengambil peluang yang entah keberapa kali untuk berbuat baik kepada abah dan mak bagi menebus dosa2 yang telah saya secara sedar atau tidak lakukan kepada mereka. Semuanya tercetus bila mana mereka terselamat dari bencana atau mereka telah selamat dibedah. Maaf pada saya semua itu tak masuk akal!
Kenapa? Kerana berbuat baik dan memohon kemaafan terhadap ibu bapa bukanlah bila ajal hampir menjemput mereka atau bila raya menjelang tiba. Bila mereka terselamat kita kemudiannya mestilah merebut peluang berbuat sehabis baik kepada mereka. Ambil peluang ini untuk menebus kesalahan yang telah lalu. Kalau hati mak telah terguris lama dulu, muka abah telah terpalit arang sedikit masa yang lalu, kenapa kini baru peluang harus direbut. Kenapa tak lama dulu luka itu dsembuh dan arang itu dibasuh? Paling tidak sejak onar dicalar, seharus dari saat itu berjanji takkan melakukannya lagi. Oh maaf termasuk cerita orang lain pula. Cerita sebenar adalah diri saya. Maafkan diri saya – saya kan manusia biasa.
Seharus bila mana rasa terlanjur, disitulah kita berundur. Memang saya akui saya anak yang panas baran, sedikit degil dan keras hati. Itu mak fahami dan abah mengerti. Mestilah kan, 17 tahun saya berkepit di bawah ketiak mereka, melebihi mana2 masa yang dicatat adik beradik saya yang lain – ada 7 semuanya. Oh tidak, mungkin abang sulung saya paling lama. Ermmm mungkin, tapi tak mengapa saya tetap jatuh no.2!
Pastilah sepanjang 17 tahun itu saya mengumpul banyak dosa, campur pula bila sudah belajar diluar dan berkahwin dan balik pula sekali-sekala pasti ada juga terkasar bahasa. Sekarang saya sudah 28 tahun usia – oh tak terbayang kekasaran yang saya lakukan lagi2 bila saya merajuk atau berkecil hati. Oh lupa nak memberitahu (mungkin malu) saya memang cembeng sedari kecil. Pantang silap sikit saya mesti menangis. Oh sungguh malu.
Namun saya tahu sayalah anak paling mudah bagi mak dan abah. Tak perlu saya terang panjang lebar kerana kenyataannya memang disitu. Cuma mungkin saya sedikit susah dari segi emosi – kerana saya memang cepat panas dan cembeng. Tapi sayalah satu2nya anak yang mak tangisi pemergiannya ke institusi pengajian tinggi. Mak begitu terasa ketiadaan saya selepas 17-18 tahun saya bercakaran dengannya. Ini mak sendiri bercerita dengan saya, bukan adik, bukan juga abang saya. Kata mak seminggu mak menangis teringatkan saya – oh mak tak tahu saya juga sebenarnya lebih teruk dari itu!
Abah pula tak tahulah bagaimana perasaannya ketika saya menjejak bumi pulau mutiara tak lama dulu. Tak menangis agaknya atau mungkin termimpi2kan saya sahaja. Ntahlah pasukan lelaki ini memang susah ditafsir emosinya. Tapi saya tahu abah puas melihat saya yang selalu cemerlang dalam pelajaran sedari sekolah kecil hingga ke sekolah besar. Setiap tahun di hari penyampaian hadiah saya pasti di barisan hadapan. Walau saya hanya bersekolah Felda, namun saya tetap berkategori cemerlang dan akhirnya memegang Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya. Alhamdulillah abah dan mak sempat menghadiri majlis konvokesyen saya. Ya abah dan mak pernah duduk megah di Dewan Tuanku Canselor itu sebanyak 2 kali – satu untuk saya dan satu untuk kakak saya.
Saya juga berusaha menghulur kepada abah dan mak wang semampu saya setiap bulan, Cuma akhir2 ini selalu termiss dan saya janji ia takkan berlaku lagi. Saya juga sempat berkongsi wang dengan kakak2 saya yang lain untuk memperelok rumah felda milik abah saya sebelum saya berumahtangga ke rumah lain. Saya juga berusaha pulang menziarah mereka setiap bulan tanpa gagal.
Tapi sebagai anak itu sahaja yang saya mampu demi membahagiakan abah dan mak. Jika kekhilafan saya yang keterlaluan dan mulut ini memang sukar memohon maaf, harapan saya agar abah dan mak fahami setiap kejayaan yang saya tempuh, setiap bahagia yang kita kecap bersama adalah tanda terima kasih dan maaf saya atas segala kesilapan dan kekasaran saya. Dari kecil perkataan maaf memang tidak dizahirkan dengan kata2, itu saya akui dalam institusi kekeluargaan kita namun kita menzahirkannya dengan setiap perbuatan. Begitu juga dengan kasih sayang – kita tak saling berpelukan, kita tak saling berciuman – namun renungan mata kita memeluk erat setiap tubuh antara kita, doa sesama kita mengucup setiap pipi2 kita. Bukankah itu lebih sempurna?
2 comments:
hrp2nya kita sume dpt buat yg terbaik utk mak n ayah kite,..insyaAllah..amin..
ye zue, harap juga kita jadi mak ayah terbaik untuk anak2 kita. InsyaAllah...
Post a Comment