15.1.10

Abah Dalam Ingatan (1945-2010)

Pada semua yang mengucapkan takziah atas kehilangan abah tersayang, jutaan terima kasih saya ucapkan. Pada yang masih takut2 untuk bertanya perihal pemergian abah – usahlah begitu kawan2, Alhamdulillah saya dapat menghadapinya dengan amat tenang. Ya saya juga menyangka bila tiba saat ini saya akan mengempang beberapa empangan airmata dan bakal tersedu2 di bahu sang suami menangisi pemergian lelaki yang paling saya sayangi ini. Demi Allah dialah lelaki yang paling saya sayangi – melebihi sayang saya pada sang suami. Namun Allah memberi saya kekuatan itu – saya menangis seperlunya sahaja – disaat membaca yassin untuk jenazahnya serta pada kali terakhir mengucup pipi dan dahinya.Ya saya tidak menangis saat saya menerima berita beliau telah meninggalkan kami buat selamanya. Egokah saya? Ini soal kematian, haruskah masih perlu ego itu?

Baiklah mari saya ceritakan serba sedikit tentang pemergian abah. Lelaki yang saya panggil abah sejak 28 tahun yang lalu ini pergi pada tanggal 5 Januari 2010, 2 hari selepas ulangtahun kelahiran abah yang ke-65. Ya abah pergi dalam usia yang masih belum terlalu tua. Pada jam 5.26 petang bersamaan hari selasa 19 Muharram 1431H, abah disahkan meninggal dunia di Hospital Selayang akibat serangan jantung. Tatkala itu adik bongsu saya ada disisi meneman abah minum petang. Bertuah sungguh adik kerana dia ada disisi abah tatkala Izrail datang menjemput abah sedang kami semua masih di tempat kerja. Syukur juga abah tidak pergi bersendirian.

Selepas semua urusan selesai, jenazah abah dibawa pulang ke Pahang. Saya tidak sempat melawat jenazah abah di hospital, kami sekeluarga terus memandu pulang ke kampung halaman juga malam itu. Alhamdulillah van jenazah tiba sebelum tengah malam menjelang. Abang saya serta mertuanya yang ada di kampung telah menyediakan segala keperluan untuk menguruskan jenazah. Namun kami memutuskan untuk mengebumikan abah keesokan harinya – memandangkan hari juga telah agak lewat. Malam itu kami bergilir2 menjaga abah dengan membaca yassin, saat itu terasa terlalu sayu kerana abah kini telah terbaring kaku. Kata kakak dalam esak tangisnya “Akak takleh dekat dengan abah, terasa-rasa dia masih ada”. Sabarlah kak, ini janji Allah.

Esoknya abah dikebumi pada jam 10.30 pagi. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan amat lancar. Kami semua mengiringi abah pergi buat terakhir kalinya – Cuma kasihan pada mak yang tak berkesempatan menyaksikan pengebumian abah (Mak masih bersimen separas dada). Tabahlah mak – abah pasti faham keadaan ini.

Jika kamu bertanya saya mengapa saya sebegini tabah, saya rasa ini semua kerana saya amat redha dengan pemergian abah. Maaf jika saya katakan, saya sudah bersedia untuk menerima pemergian abah sejak 2 tahun yang lepas – dimana pertama kalinya abah diserang sakit jantung. Allah Maha Besar – dia memberi kami ‘extra time’ lebih 2 tahun untuk menjaga dan bersama abah. Keterlaluankah jika saya kata saya sudah bersedia? Jangan salah anggap ungkapan saya – di sebalik bersedianya saya, saya amat bersyukur dengan aturan Allah S.W.T. Dia tidak mengambil abah secara mengejut, dia memberi kami masa untuk menerima kenyataan ini. Inilah maksud saya – perancangan Allah ini maha adil buat kami semua. Kerna itu saya sangat redha.

Abah telah menjalani pembedahan jantungnya pada 5/8/2009, sebelum kemalangan yang menimpa abah, mak dan akak sekeluarga pada 6/12/2009, abah sudah agak pulih dari pembedahan itu dan kelihatan ceria. Memang abah seperti tidak dapat menerima kemalangan ini, namun siapalah abah unutk menyalahi takdir. Dari pembedahan jantung di ijn kami bersamanya sejak 2 tahun lepas, kemudian bila Allah menguji kami dengan kemalangan ini, kami diberi masa sebulan lagi untuk bersama Abah. Adilkan Allah itu? Subhanallah.Dia tidak mengambil abah terus dari kami – tidak di pembedahan jantung yang amat berisiko itu dan tidak juga di kemalangan yang meremukkan kereta kakak saya. Allah mengambil beliau disaat kami telah tenang menerima semuanya. Allahhuakbar!

Dan yang menjadikan saya semakin redha ialah pabila dalam deraian airmata, abang ipar menceritakan bahawa abah tersenyum sewaktu jenazahnya dimandikan, ini juga dimaklumkan adik bongsu dan suami saya. Subhanallah – moga2 arwah abah dicucuri rahmat dan tenanglah abah disana – setenang senyumannya di saat hayatnya masih ada. Abah terima kasih atas semua...

2 comments:

~ZuE~ said...

uji..ko sgt tabah..huhu..sebak aku bace..huhu..smoga roh Abah ko ditempatkan diklgn org yg beriman..amin..

RBI said...

terima kasih zue...aku sendiri tak sangka aku setabah ini walau aku sangat sayang pada abah aku...