Saya ingin berkongsi cerita, cerita tentang ibu muda di katil sebelah saya sewaktu saya di dalam wad bersama Yusuf. Ibu muda ini berbadan sedikit besar, saya agak umurnya di awal 20an dan pertama kali menjadi ibu. Dia juga bersalin melalui kaedah ceasarean. Anaknya perempuan yang dilahirkan seberat 3.6kg.
PPUM adalah hospital rakan bayi, maka bayi memang akan sentiasa bersama ibu dan tiadalah nursery atau susu formula yang dibenarkan.
Alhamdulillah Yusuf tidak meragam. Sebab sudah mempunyai pengalaman anak pertama dan sedikit pengetahuan tentang penyusuan susu ibu maka saya tidak lagi panik memikirkan susu yang belum banyak atau memikir cara yang efektif untuk menggalakkan penghasilan susu.
Berlainan dengan ibu muda di katil sebelah. Simpati saya padanya, sudahlah dibedah, anaknya pula asyik menangis dengan suara yang amat kuat, ye seperti anaknya mempunyai nada suara di oktaf 5, setaraf Mariah Carey. Saya serius, sehingga memang saya tak bisa melelapkan mata sepanjang malam. Begitu juga ibu muda itu, baru dia mahu melelap mata anaknya akan mula berdondang sayang. Sesekali saya terdengar beliau merengus namun beliau tetap bangun menenangkan anaknya.
Dia ada menegur saya, bertanya tentang susu ibu. Walaupun saya berjaya menyusukan Maryam sehingga 2 tahun namun pada saya, saya masih mentah dan saya bukanlah orang yang layak menasihati beliau. Saya juga tak mahu mengganggu emosinya yang jelas sudah amat terganggu. Rupanya dia mengalami masalah puting tenggelam, maka anaknya memang tidak dapat menyusu dengan sempurna. Waktu ini saya bersyukur kerana Allah tidak menguji saya sebegini.
Disebabkan anaknya asyik menangis, beberapa kali nurse mengambil anaknya, ya saya tahu, nurse memberikan susu formula kepada anaknya. Namun anaknya diam tidaklah lama, masih juga melalak.
Sampai ke satu tahap, saya terdengar perbualan ibu muda ini dengan seorang nurse yang agak senior.
"Eh kenapa awak menangis?"
"Saya stress la nurse, dari semalam saya tak tido, baby asyik menangis aje"
"Nak jadi ibu, tak cukup tido tu biasa, awak jgn la menangis depan anak awak, kuat sikit, nak jadi ibu mcm ni la"
Kemudian nurse itu memberi sedikit nasihat buatnya. Saya juga sedikit terharu, berbeza dengan nurse sebelum2 ini, nurse yang satu ini cukup lembut menasihati.
Benar nak jadi ibu kena cukup kuat dari segi mental dan fizikal. Mental lebih2 lagi. Jika tidak memang kecundang khasnya jika nak menjayakan penyusuan ibu yang sempurna. Saya telah melaluinya dan kini lebih tenang mendengar cakap2 yang tidak membina. InsyaAllah saya akan berusaha keras untuk merealisasikan impian saya untuk menyusukan Yusuf Imran selama 2 tahun. Saya bukan poyo atau cuba mengikut2 tapi saya cuba memberikan yang hak dan terbaik buat generasi saya sendiri. Saya telah melihat sendiri kebaikan susu ibu buat Maryam, jadi mengapa saya tidak meneruskan buat Yusuf?
Moga Allah sentiasa membantu saya. Dan buat ibu muda itu saya harap dia tidak berputus asa.
Published with Blogger-droid v1.7.4
No comments:
Post a Comment